mutakhir

'IPR lebih baik daripada BR1M' - Halimey

Oleh Nur Lela Zulkipli

INISIATIF Peduli Rakyat (IPR) disifatkan lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) khususnya dalam memperkasakan golongan wanita kurang berkemampuan.

Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, selepas bertemu dengan penduduk Seri Setia, beliau dapati ramai yang memilih manfaat IPR berbanding BR1M.

Halimey berkata, bahkan pada fasa pertama pelaksanaan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), 30 peratus daripada 26,972 wanita sudah pun menerima manfaat baucer beli belah bulanan sebanyak RM200.

"Bantuan KISS bukan saja banyak memfokuskan dalam membantu golongan wanita kurang berkemampuan, malah ia lebih baik daripada BR1M yang diperkenalkan kerajaan terdahulu yang hanya menumpukan kepada ketua keluarga.

"Melalui dominasi wanita dalam permohonan IPR membuktikan kerajaan negeri berada di landasan sepatutnya dalam membangun dan memperkasakan wanita pada masa kini," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

IPR diperkenalkan melalui kerajaan negeri Selangor pada 2018 meliputi 17 perkara antaranya pembiayaan pelajaran dan air bersih 20,000 liter percuma setiap bulan bagi penduduk negeri itu.

Katanya, beliau komited dalam memperkasakan lagi ekonomi wanita di DUN Seri Setia melalui pelbagai aktiviti perniagaan dan kemahiran yang mampu meningkatkan pendapatan keluarga bagi tempoh masa panjang.

"Saya dapati ramai wanita yang tidak mengetahui cara untuk mendapatkan pinjaman perniagaan melalui Skim Hijrah yang berperanan mengurangkan beban peniaga kecil selain berpeluang mendapatkan modal tambahan.

"Jadi, saya jamin apa yang baik dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini akan saya salur dan praktikkan demi membantu golongan wanita di sini," katanya.

Halimey turut menjamin golongan wanita di DUN Seri Setia akan dapat menikmati kesemua faedah daripada program IPR tidak lama lagi apabila semua urusan permohonan berkaitannya boleh dilakukan di pejabat DUN yang akan ditubuhkan nanti.

"Kita juga sudah merangka program meningkatkan pendapatan isi rumah bagi membantu golongan wanita di DUN ini. Wanita yang berminat akan dilatih dalam bidang pembuatan makanan sejuk beku, jahitan, urutan tradisional dan spa kecantikan.

"Golongan ibu tunggal juga tidak ketinggalan dalam menerima manfaat ke arah kedudukan ekonomi yang lebih baik," katanya.

Halimey berharap golongan wanita di DUN Seri Setia akan tampil sekiranya berdepan masalah ekonomi, keganasan rumah tangga atau penindasan gender di tempat kerja.

PRK Dun Seri Setia pada 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara Halimey dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.

Lagi berita PRK Seri Setia

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 1:14pm
d