mutakhir

'Air mata dua ibu...'

Oleh Nik Sukry Ramli

HANYA air mata mampu menggambarkan perasaan dua ibu selepas Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, memerintahkan pemilik lombong bauksit membayar ganti rugi atas kematian tiga anak mereka yang lemas di tapak lombong, tahun lalu.

Norhabibah Aidir, 51, adalah ibu kepada Nureen Ain Juwita, 11. Nor Azila Mudzafar Shah, 33, ibu kepada dua beradik, Salsabila Zulkhairi, 13, dan Mahathir Mohamad, 8.

Tiga kanak-kanak itu lemas ketika cuba mengambil sehelai seluar daripada lombong terbiar itu, yang bertukar menjadi kolam apabila hujan, pada kejadian, 4 Februari 2017.

Dua ibu kelihatan tidak dapat menahan sebak dan sambil berpelukan, sejurus selepas selesai prosiding berkenaan.

Nor Azila berkata, dia bersyukur dengan keputusan itu dan berharap ia menjadi pengajaran kepada pemilik bekas lombong bauksit lain yang mengambil remeh isu keselamatan.

“Ini adalah keputusan yang sangat kami tunggu dan memastikan keadilan terhadap arwah anak kami terbela.

“Saya harap, ia (keputusan) boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Terdahulu, Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib pada penghakimannya mengarahkan defendan membayar RM37,620 masing-masing kepada keluarga tiga kanak-kanak malang itu, selain membayar kos dan faedah yang akan ditentukan kemudian.

Beliau membuat keputusan itu selepas selesai mendengar keterangan tujuh saksi plaintif dan pemilik, Ng Kok Yu yang juga saksi defendan dalam kes berkenaan.

Dalam kes itu, plaintif yang terdiri daripada Mohd Shariff Awang Ngah, 51, dan Norhabibah, ibu bapa Nureen Ain Juwita; dan Nor Azila, ibu kepada dua beradik, Salsabila Zulkhairi dan Mahathir Mohamad memfailkan saman melalui peguam, Mohd Harris Abdullah terhadap defendan pada 29 Oktober lalu.

Mereka memfailkan saman itu ke atas Ng atas alasan kecuaian, yang antara lain mendakwa dia tidak memagar kawasan itu bagi mengelak orang ramai daripada memasukinya, tidak meletakkan sebarang tanda amaran atau menimbus lombong.

Pada 4 Februari 2017, Salsabila, Mahathir dan Nureen lemas ketika cuba mengambil sehelai seluar daripada lombong terbiar itu, yang bertukar menjadi kolam apabila hujan sebelum kejadian.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 2:56pm
d