mutakhir

'Sebab dapur, bayiku melecur...'

Oleh Nur Saliawati Salberi

BAYI lelaki berusia dua tahun melecur 30 peratus pada anggota badannya akibat terkena air panas selepas dapur memasak di rumahnya secara tiba-tiba meletup.

Dalam kejadian 4.50 petang 18 Ogos lalu itu, mangsa melecur di bahagian belakang badan sehingga lutut dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama lapan hari untuk mendapatkan rawatan.

Ibu mangsa, Chong Roushi, 31, berkata, kejadian berlaku ketika dia memasak air di atas dapur yang baharu dibeli tiga bulan lalu.

Katanya, ketika kejadian, anak bongsu daripada dua beradik itu sedang menunggunya memotong buah epal di dapur sebelum terdengar bunyi retakan.

“Saya sangka anak membaling barang namun sebaik menoleh ke belakang terkejut apabila melihat dapur sudah retak dan sekelip mata saja jatuh ke lantai.

“Malangnya, belum sempat saya mengambilnya, anak yang terkejut dengan kejadian itu terjatuh ke belakang dan terkena air panas yang tertumpah ke lantai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Durian Tunggal di Melaka, hari ini.

Roushi berkata, dia tidak menyangka dapur yang baru dibeli itu boleh meletup dan pecah malah masih dalam tempoh jaminan selama setahun.

“Saya amat trauma dan terkesan dengan kejadian ini kerana tidak sanggup melihat anak menanggung kesakitan.

“Sehingga kini, saya dan suami, Wong Lin Siang, 37, kecewa kerana tiada wakil daripada pihak pengeluar dapur memasak itu berjumpa bagi membincangkan perkara berkenaan,” katanya.

Insiden yang menimpa kanak-kanak itu mendapat perhatian netizen selepas tular di Facebook.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya akan menghubungi pengeluar dapur memasak keluaran tempatan itu bagi membincangkan perkara itu.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 4:23pm
d