mutakhir

Ajal bayi baru dilahirkan akibat tersedak

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

BAYI lelaki meninggal dunia dipercayai akibat tersedak selepas dilahirkan seorang wanita tanpa pengetahuan keluarganya dalam bilik sebuah rumah di Taman Gasing, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi, wanita, 22, berkenaan dipercayai melahirkan anak seorang diri sebelum bayi itu meninggal dunia dalam pangkuan.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan daripada abang mangsa berhubung kejadian jam 9.20 pagi.

“Berdasarkan keterangan lelaki terbabit, dia terjaga dari tidur pada jam 6 pagi tadi selepas terdengar suara orang mengerang kesakitan dari bilik tidur adiknya.

“Lelaki itu kemudian masuk ke bilik adiknya dan mendapati wanita itu terbaring di lantai dalam keadaan tidak bermaya bersama bayi lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

“Bayi yang sempurna sifat itu, bagaimanapun didapati tidak lagi bergerak sebelum disahkan meninggal dunia akibat tersedak sebaik tiba di Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.

Difahamkan, wanita berkenaan sempat memangku anaknya, namun akibat tidak tahu menyambut kelahiran mengakibatkan bayi itu tersedak dan meninggal dunia.

Wari berkata, berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan belum berkahwin dan tidak memaklumkan keluarganya mengenai status kandungan bayinya.

“Wanita itu dipercayai menjalin hubungan bersama kekasihnya berasal dari Kuala Nerang, Kedah, dan dipercayai melakukan hubungan seks di rumah lelaki terbabit sejak Januari lalu.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak mahu bertanggungjawab sejurus mengetahui wanita itu mengandung Mei lalu dan turut menukar nombor telefon bagi mengelak dikesan,” katanya.

Jenazah bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat, manakal wanita berkenaan dirawat di HTF dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, usaha pihak media mendapatkan reaksi keluarga wanita berkenaan gagal selepas beberapa lelaki bertindak agresif termasuk menghalau kumpulan wartawan dan jurugambar.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 6:25pm
d