mutakhir

Dua suspek pengedar dadah dicekup [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

DUA lelaki yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu ditahan dalam serbuan di rumah di Taman Klebang Mutiara, Ipoh, semalam.

Serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 3.30 petang itu menahan suspek masing-masing berusia 29 dan 30 tahun dalam bilik di rumah terbabit.

Ketua JSJN negeri, Asisten Komisioner VR Ravi Chandran berkata, hasil risikan selama dua bulan berdasarkan maklumat orang awam, pihaknya menyerbu premis berkenaan dan mendapati kedua-dua suspek berada dalam bilik di premis itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan dadah dipercayai heroin 1.37 kilogram (kg) dan methamphetamine seberat 130 gram yang keseluruhannya bernilai RM67,275.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah dalam paket kecil.

“Polis turut menyita dua kereta dipercayai milik seorang daripada suspek, lori dan beberapa barang kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM69,350,” katanya pada sidang media di IPK di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek menggunakan rumah itu sebagai lokasi untuk membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar bandar raya itu.

“Berdasarkan siasatan lanjut, semua rampasan dadah itu boleh menampung bekalan dadah kepada 63,000 penagih dalam tempoh empat bulan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Suspek berusia 29 tahun juga positif ganja selepas menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.

Ravi Chandran berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pihaknya masih mengenal pasti saki baki individu yang turut terbabit dalam sindiket berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dan menahan 5,883 individu terbabit dalam aktiviti pengedaran dan memiliki dadah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Nilai sitaan harta daripada pengedar dadah sepanjang tempoh itu adalah sebanyak RM2.2 juta,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 6:45pm
d