mutakhir

Agong perkenan pelaksanaan SST

Oleh Ahmad Suhael Adnan

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberi perkenan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, baginda memberi perkenan itu Jumaat lalu, selepas beberapa Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pelaksanaan SST diluluskan di Dewan Negara, 20 Ogos lalu.

Sehubungan itu, katanya, SST boleh mula dikuatkuasakan mulai Sabtu ini selepas GST yang mula dilaksanakan pada 1 April 2015, berjaya dimansuhkan.

"Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana memperkenan pelaksanaan SST yang selari dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mendukung janji manifesto pada pilihan raya yang lalu.

"Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap dapat meringankan beban rakyat memandangkan hanya mengutip RM21 bilion di bawah SST berbanding RM44 bilion di bawah GST pada 2019," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, Dewan Negara meluluskan semua RUU berkaitan SST, antaranya RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan RUU Cukai Jualan dan Perkhidmatan 2018 yang menggantikan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), diluluskan tanpa pindaan menerusi undi sebulat suara.

Kelulusan RUU itu sekali gus menepis dakwaan kononnya Ahli Dewan Negara daripada Barisan Nasional (BN) seramai 29 orang akan mensabotaj kerajaan untuk melaksanakan cukai itu pada 1 September ini.

Guan Eng berkata, pengusaha perniagaan perlu mematuhi peraturan baharu itu serta mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST.

"Ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan, dan juga sebagai langkah Kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas sebarang akiviti pencatutan," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 7:18pm
d