mutakhir

JPA nafi akan hentikan bayaran pencen

Oleh Fahmy Azril Rosli

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menghentikan bayaran pencen seperti tular di media sosial.

Menurut kenyataan Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, berita bertajuk 'Tiada bayaran pencen selepas persaraan 2021' yang kononnya dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan Astro Awani adalah palsu.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, Astro Awani tidak pernah menyiarkan kenyataan sedemikian.

"Pihak kami ingin mengesahkan bahawa berita ini adalah palsu.

"Gambar dan kenyataan sebenar atau asal yang dikeluarkan oleh Astro Awani adalah bertajuk 'BR1M polisi malas kerajaan terdahulu' oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bertarikh 27 Ogos 2018.

"Mohon disebarkan untuk makluman semua bakal pesara, pesara, waris dan tanggungjawab pesara kerajaan," katanya hari ini.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 7:36pm
d