mutakhir

Maut dihempap pokok Akasia

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

PENGHANTAR kurier maut selepas dihempap pokok Akasia yang tumbang akibat dilanda ribut di tepi sebuah resort terbiar di Jalan Masjid, Muadzam Shah, Rompin, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa Noor Mohd Farhan Mohmad Noor, 31, dari FELDA Keratong 1, Bandar Tun Razak, Muadzam Shah dikatakan dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas menghantar barang di Bandar Satelit, Rompin meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Difahamkan, sebelum kejadian angin kencang kira-kira 15 minit sebelum hujan lebat secara tiba-tiba melanda sekitar kawasan Muadzam Shah.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 adalah individu yang pertama menjadi korban ribut di daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebatang pokok berukur lilit kira-kira dua meter yang tumbang sebelum menghempapnya.

“Kejadian berkenaan disedari pengguna yang melalui laluan berkenaan sebelum menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan,” katanya.

Azly berkata, sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mengambil masa 30 minit untuk mengalihkan pokok tumbang itu bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Menurutnya, polis terpaksa menutup laluan berkenaan kepada semua kenderaan bagi memudahkan kerja kerja menyelamat dilakukan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 7:41pm
d