mutakhir

Mangsa kes bunuh mabuk, katanya

Oleh Fazrik Kamarudin

MAYAT lelaki ditemui di dalam bilik hotel di Sungai Chua, Kajang, hari ini.

Mayat mangsa berusia 25 tahun itu ditemui oleh pekerja hotel dalam keadaan terbaring pada 8.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata, hasil siasatan pihaknya mengesan kewujudan dua lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa.

"Mangsa mendaftar masuk bersama dua lagi lelaki kira-kira lima jam sebelum ditemui oleh pekerja hotel berkenaan, iaitu pada 3.20 pagi.

"Ketika mendaftar masuk, mangsa tidak sedarkan diri dan dua lelaki terbabit memaklumkan pekerja hotel mangsa berada dalam keadaan mabuk, sebelum kedua-dua lelaki berkenaan keluar meninggalkan bilik hotel itu pada 8 pagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzaffir berkata, siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor menemui kesan lebam pada badan mangsa.

"Kesan lebam ditemui pada muka, leher, dada, belakang dan kaki mangsa tetapi tiada kesan luka terbuka di badan.

"Siasatan di lokasi kejadian juga tidak menjumpai apa-apa senjata yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa sementara semakan terhadap mangsa tidak menemui sebarang rekod lampau.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat. Keluarga masih dikesan untuk proses pengecaman mayat, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 7:54pm
d