mutakhir

Lelaki amuk bakar rumah pusaka

Oleh Rosman Shamsudin

SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman bertindak membakar rumah pusaka ibunya di Kampung Balun, Slim River, jam 2.30 petang hari ini.

Sebelum kejadian, suspek, 40, membawa parang dan mengamuk serta memecahkan cermin rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan polis mendapati rumah pusaka itu baru dikosongkan penyewa kira-kira dua minggu lalu selepas suspek sering datang dan menakut-nakutkan penyewanya.

“Dalam kejadian itu, saksi awal di tempat kejadian memaklumkan suspek ada membawa parang dan mengamuk serta memecahkan cermin tingkap sebelum membakar rumah itu sebelum berlari keluar dari rumah.

“Hasil rakaman percakapan pengadu yang juga abang suspek memaklumkan rumah itu sudah ditinggalkan kira-kira dua minggu lalu selepas suspek mengeluarkan parang dan pergi ke rumah berkenaan.

“Siasatan polis daripada maklumat abang suspek memaklumkan suspek kurang siuman dan sering bercakap seorang diri seperti berhalusinasi,” katanya.

Menurutnya, suspek didakwa sering mengamuk dengan membawa sebilah parang dan mengatakan ada kawan selalu bersamanya.

Katanya, suspek yang ditahan polis mengaku melakukan perbuatan itu dengan menggunakan kain buruk dan pemetik api hingga menyebabkan kerugian kebakaran rumah setingkat itu dianggarkan antara RM80,000 hingga RM100,000.

“Suspek juga penagih dadah dan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 11:47pm
d