mutakhir

'Mudahnya, kau ambil bayi aku?'

Oleh Faris Fuad

TIGA wanita yang mengendalikan sebuah pusat jagaan di Bukit Beruntung, Selangor, ditahan pihak polis semalam, susulan laporan seorang penghuni mendakwa bayi yang baru dilahirkannya diserahkan kepada keluarga angkat tanpa kerelaannya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, suspek berusia antara 25 hingga 55 tahun dipercayai pemilik dan penjaga pusat jagaan itu.

Katanya, pihaknya turut merampas dokumen pendaftaran pusat itu, komputer riba dan enam telefon bimbit sebagai bahan bukti siasatan.

"Pengadu yang juga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pemeriksaan di premis berkenaan dan menyelamatkan remaja perempuan berusia 17 tahun yang melahirkan bayi di pusat jagaan itu pada 20 Ogos lalu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak JKM menemui sembilan remaja perempuan mengandung di premis itu, pengadu menyelamatkan mangsa dan buat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa berusia 17 tahun itu berasal dari Senai, Johor didapati dihantar ke premis itu oleh ibu bapanya selepas mendapati anak mereka mengandung.

"Mangsa membuat bayaran sebanyak RM4,000. Selepas anaknya dilahirkan, mangsa gagal membuat bayaran susulan sebanyak RM5,500 kepada pihak premis itu.

"Bayi itu kemudian diserahkan kepada keluarga angkat tanpa kerelaan mangsa.

"Bayi itu dikembalikan kepada mangsa oleh keluarga angkat pada jam 12 tengah hari, semalam," katanya.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada jam 10 pagi ini bagi mendapatkan perintah reman.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 10:17am
d