mutakhir

30 rumah rosak, pelantar runtuh

Oleh Wartawan NSTP

SEKURANG-KURANGNYA 30 rumah di beberapa kawasan penempatan di Kuala Kurau, Parit Buntar rosak akibat ribut dan ombak kuat, hari ini.

Kejadian 3.30 pagi itu turut menyebabkan satu pelantar nelayan runtuh manakala sejumlah bot nelayan bersama kelengkapan turut rosak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata, pihaknya sudah menerima lebih 30 aduan mengenai kejadian ribut di kawasan itu sehingga jam 11 pagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata, kawasan terjejas membabitkan Kampung Nelayan Kuala Kurau, Kampung Batu 14, Simpang Tiga Kuala Kurau Parit Tok Hin dan Jalan Pantai.

"Beberapa rumah yang terbabit mengalami kerosakan serius dan memerlukan pembaikan dengan kadar segera berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Anggaran kerosakan yang dialami mangsa ribut masih dalam siasatan dan bagi beberapa rumah yang mengalami kerosakan serius dengan anggaran kerugian antara RM5,000 hingga RM10,000," katanya ketika ditemui pemberita di Parit Buntar, hari ini.

Wakil rakyat itu menziarahi serta menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa ribut.

Beliau berkata, agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah diminta bertindak segera bagi memberikan bantuan awal kepada kesemua mangsa.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 2:05pm
d