mutakhir

Dadah murah RM1 hingga RM5

Oleh Husna Alias dan Luqman Arif Abdul Karim

PENULARAN dadah dalam kalangan pelajar kini semakin membimbangkan apabila ia dijual serendah RM1 hingga RM5, dan didatangkan dalam bentuk pakej bagi mengelak risiko ‘sangkut’ ujian air kencing.

Strategi bagi melariskan jualan kepada pelajar yang mula dikesan sejak tahun lalu itu menyaksikan pengedar turut membekalkan ‘ubat cuci’, iaitu sejenis tablet yang lazimnya diberikan pengamal perubatan untuk merawat kencing tidak lawas.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Kesihatan, Intervensi dan Asrama Kementerian Pendidikan, Nadzman Radzaly berkata, pembeli diarahkan menelan ‘ubat cuci’ kira-kira sejam selepas mengambil dadah.

Ketika mendedahkan perkara itu, beliau berkata, ini dilakukan supaya jalur petunjuk pada alat yang digunakan dalam ujian air kencing, samar atau tidak jelas, sekali gus menghapuskan bukti dikehendaki pihak berkuasa.

Katanya, risikan mendapati pengambilan dadah dalam kalangan pelajar sukar dibendung kerana majoriti kes pembelian berlaku di luar pekarangan sekolah.

Selain itu, katanya, pola terkini membabitkan kumpulan itu menyaksikan perubahan ketara, termasuk penularan penjualan air ketum dan penggunaan dadah sintetik yang semakin laris di pasaran kerana dijual pada harga murah.

“Kita mula sedar mengenai pakej ini sejak tahun lalu, malah pemantauan lanjut seakan mengesahkannya kerana rekod farmasi menyaksikan ubat oral yang lazimnya digunakan untuk merawat kencing tidak lawas banyak dibeli.

“Kajian mendapati golongan berisiko terjerumus dalam kancah dadah kebanyakannya membabitkan pelajar yang berdepan masalah keluarga, berbanding pelaku kes disiplin biasa di sekolah,” katanya kepada pemberita di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau antara tiga panel undangan sempena bicara anjuran INTEGRITI bertajuk ‘Akauntabiliti guru dalam memerangi ancaman dadah’ yang turut disertai 170 warga pendidik muda dari sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

Dua panel lain ialah Ketua Unit Transformasi dan Pengurusan Pelaksanaan Lembaga Penduduk serta Pembangunan Keluarga (LPPKN), Fauwaz Hasbullah dan Setiausaha Kerja Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perlis, Hassan Othman. Bicara itu dikendalikan Penyelaras Program Agensi Penguatkuasaan INTEGRITI, Harisham Ibrahim.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 3:30pm
d