mutakhir

Dua beradik terkedu dihukum penjara

Oleh Norrasyidah Arshad

DUA beradik terkedu apabila Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap mereka selepas didapati bersalah melakukan lebih 60 pecah amanah membabitkan nilai RM600,000, di syarikat mereka berkerja.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Seksyen Zamri Bakar terhadap Tong Kim Fong, 53, dan adiknya, Tong Kim Lin, 48.

Zamri turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar wang denda berjumlah RM60,000 setiap seorang dan sekiranya gagal, kedua-dua mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Kim Fong dan Kim Lin yang bekerja di bahagian akaun syarikat Tzik Huat Hardware Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu memasukkan sejumlah wang syarikat sebanyak 64 dan 65 kali ke dalam akaun masing-masing.

Perbuatan itu dilakukan antara 2011 hingga 2016 di syarikat terbabit di Jalan 2D Kampung Baru Subang, dekat Shah Alam.

Justeru, kedua-dua mereka yang sudah berkerja lebih 20 tahun di syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, kedua mereka boleh dipenjara sehingga 14 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam tertuduh K Mularidharan dan N N Sankara memohon penangguhan hukuman penjara berikutan mahu membawa kes terbabit ke Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali membantah permohonan dengan alasan tertuduh tidak memiliki sebarang alasan kukuh untuk memohon penangguhan hukuman.

Zamri kemudian menolak permohonan kedua-dua tertuduh dan mengarahkan mereka dipenjara bermula hari ini.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 3:45pm
d