mutakhir

Bantu kami sambung bersekolah...

Oleh Ramli Ibrahim

KEMISKINAN hidup menyebabkan tiga beradik di Kampung Panggong Lalat, Gua Musang terpaksa berhenti sekolah dan tidak lagi bergaul dengan rakan sebaya mereka.

Nur Aidil Balqis Abdul Rahman, 13; Nur Alia Adila, 11; dan Nur Alia Apira, 9, menamatkan persekolahan mereka sejak April tahun lalu selepas berpindah dari Tumpat.

Ibu mereka, Zuraini Mat Rani, 31, berkata, sebelum ini ketiga-tiga anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubur, Tumpat sebelum mereka memulakan hidup baharu di sini.

Katanya, di Tumpat, dia berniaga nasi lemak untuk menampung kehidupan mereka dan perbelanjaan sekolah anak, namun tidak dapat bertahan lama.

“Kesempitan hidup memaksa kami berhijrah ke Gua Musang untuk mencari peluang pekerjaan baharu.

“Kini suami bekerja menoreh getah dan memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan dan ia sekadar cukup untuk belanja makan tetapi belum mampu menghantar semula anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Lalat, hari ini.

Zuraini berkata, sebelum ini, ketiga-tiga anaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) Tumpat sebanyak RM100 seorang, setiap bulan.

“Tetapi selepas kami berpindah ke sini (Gua Musang), bantuan JKM itu terpaksa dihentikan kerana berada di daerah lain dan perlu memohon semula dengan JKM daerah ini.

“Memang saya sudah memohon bantuan dengan JKM Gua Musang bagi menyambung persekolahan tiga anak saya, tetapi belum ada ada perkembangan,” katanya.

Sementara itu, Nur Aidil Balqis berkata, dia teringin untuk bersekolah semula kerana mahu membina masa depan yang lebih baik.

Katanya, dia malu dengan rakan sebaya di kampung itu kerana tidak bersekolah dan berharap ada pihak yang membantunya dan adiknya menyambung persekolahan.

“Saya bersama dua adik rasa sedih kerana tidak dapat bersekolah dan terpaksa berkurung di rumah setiap hari,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 3:54pm
d