mutakhir

'Biarlah abang tak kahwin...'

Oleh Siti Rohana Idris

“RANCANGAN untuk berkahwin beberapa tahun lalu terpaksa saya lupakan kerana tidak sanggup meninggalkan keluarga terutama adik yang masih kecil,” kata Ahmad Zaidi Ramli, 33.

Dia yang berasal dari Kampung Tujoh, Tumpat terpaksa berkorban demi membesarkan tujuh adiknya, selepas mereka menjadi yatim piatu sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, tanggungjawab sebagai abang sulung perlu dilaksanakan dengan baik memandangkan dia sudah dianggap ibu dan bapa oleh adik-beradiknya.

“Saya memang mahu mendirikan rumah tangga seperti orang lain tetapi buat masa ini, adik-adik saya adalah keutamaan.

“Mereka masih memerlukan saya sejak kematian ibu, Napisah Mat Ali pada 2007 akibat asma disusuli pemergian bapa, Ramli Abdul Rahman dua tahun selepas itu kerana kencing manis,” katanya.

Mengambil upah sebanyak RM60 sehari, tukang rumah itu berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu, dia membesarkan semua adiknya sehingga semua mampu menghabiskan persekolahan.

“Tiga adik saya kini mencari rezeki di luar Kelantan sebagai buruh dan pembantu kedai makan, manakala empat lagi tinggal bersama saya di kampung termasuk dua yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Geting iaitu di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima," katanya ketika ditemui NSTP.

Ahmad Zaidi berkata, dia enggan menyusahkan semua adiknya terutama yang bekerja di luar Kelantan kerana mereka juga bukan hidup senang dengan kos hidup yang tinggi.

Katanya, tiga adiknya yang bekerja di luar Kuala Lumpur ada menghantar wang untuk mereka berlima di kampung, namun kiriman itu hanya diminta jika ada kecemasan.

"Bukannya saya tidak mahu mencari kerja tetap yang lain tetapi saya tidak boleh bekerja mengikut waktu pejabat kerana terikat dengan menghantar dan menjemput adik dari sekolah kerana jarak antara sekolah dan rumah hampir dua kilometer," katanya.

Keluarga itu menerima kunjungan dari aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman yang menyampaikan barangan keperluan harian kepada mereka.

Faizah juga berjanji untuk mencari penyumbang bagi membaik pulih rumah yang didiami Ahmad Zaidi dan empat adiknya yang tidak sempurna pembinaannya.

Kepada yang ingin membantu keluarga Ahmad Zaidi, boleh membuat sumbangan di akaun Maybank miliknya iaitu 114721022548.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 5:05pm
d