mutakhir

Ramai kekasih warga tempatan rupanya...[METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SERAMAI 162 wanita warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di tiga kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Mereka terdiri daripada 152 wanita Thailand, Bangladesh (empat) serta masing-masing tiga dari Laos dan Korea Selatan.

Mereka mengaku bersalah selepas memahami tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Hakim Haridhsham Mohamad Yasin kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara 25 hingga 30 hari terhadap 158 tertuduh bermula dari tarikh mereka ditahan pada 3 Ogos lalu manakala empat lagi wanita dijatuhi denda antara RM500 hingga RM800.

Turut dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh sama ialah empat lelaki Bangladesh yang didapati turut menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan di kelab berkenaan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa tanpa sebab yang munasabah didapati gagal mematuhi syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan di kelab malam selepas operasi dijalankan Jabatan Imigresen di tiga kelab malam berkenaan pada 11.50 malam, 3 Ogos lalu.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-kedua sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Khasthuri Bai.

Di mahkamah sama, turut didakwa ialah seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang juga pengurus satu daripada kelab malam berkenaan.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 55E(1), Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan imigran haram masuk dan berada dalam premis.

Haridhsham kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhi denda RM40,000.

Kasthuri ketika ditemui berkata, semua tertuduh warga asing berkenaan dibawa semula ke Depoh Tahanan Imigresen untuk proses dokumentasi sebelum tindakan lanjut termasuk pengusiran ke negara asal masing-masing.

Terdahulu dalam hujahnya, beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang pas untuk sektor hiburan dan keberadaan warga asing terbabit yang bekerja sebagai GRO menyebabkan berlaku masalah sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Warga asing ini mendakwa mereka datang untuk mencari nafkah di Malaysia dengan berurusan dengan ejen tertentu, namun mereka sama sekali tidak berurusan atau mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan masing-masing dan Jabatan Imigresen.

“Dengan ini, sangat terang dan jelas semua tertuduh melanggar peraturan yang ditetapkan di negara ini.

“Keberadaan mereka jelas menyebabkan masalah sosial dan ini terbukti apabila ramai teman lelaki mereka yang juga warga tempatan hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 7:49pm
d