mutakhir

Renjer maut terkena peluru rakan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

RENJER Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) maut selepas dipercayai terkena tembakan rakan dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun di Rembau, hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata mangsa, Cyril Quing, 35, bersama 16 rakan setugas terbabit dalam operasi membasmi musuh tanaman itu bermula 8.30 pagi.

Menurutnya, sebelum memulakan operasi mangsa bersama pasukan menyertai taklimat penggunaan senjata api dan kemudian dibawa tiga penduduk masuk ke kawasan hutan untuk memburu kera.

“Pada 10.10 pagi, mangsa secara tiba-tiba berlari keluar hutan dan meminta bantuan beberapa rakan setugas lain memberitahu dia terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

“Mangsa segera dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Azam berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan cedera berlubang di dada kanan dipercayai akibat terkena tembakan.

Beliau berkata, hasil siasatan seramai 17 anggota PERHILITAN termasuk mangsa terbabit dalam operasi berkenaan dan semuanya mempunyai lesen memiliki dan menggunakan senjata api.

“Berikutan kejadian itu, 16 anggota kini ditahan dan senjata digunakan mereka turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, untuk bedah siasat dijangka pada pagi esok,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 9:40pm
d