mutakhir

'Doakan adik selamat'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SAYA sentiasa berdoa kepada Allah supaya dia ditemui dengan selamat. Adik baru saja bertunang tiga bulan lalu dan bakal mendirikan rumah tangga tahun hadapan," kata Khairul Abu Bakar, 24.

Dia adalah abang kepada Mohamad Ridhwan Abu Bakar, 22, yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke laut ketika sedang memancing di perairan 10 batu nautika dari Kuala Kuantan, Kuantan, kelmarin.

Khairul berkata, pada hari kejadian, adiknya ada memaklumkan ingin keluar mencandat sotong bersama rakannya dan dia memaklumkan tidak dapat bersama kerana perlu bertugas.

“Secara kebiasaan, saya akan ikut dia dan rakannya untuk keluar memancing atau mencandat sotong. Namun, pada hari kejadian kebetulan saya bekerja dan tidak ikut dia keluar ke laut bersama rakannya.

"Saya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku kepadanya kerana sejak kecil, adik saya berpengalaman dalam mencandat sotong," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, adik bongsunya yang bekerja di sebuah kilang industri di Pekan turut memaklumkan akan keluar ke laut selama satu hari setengah.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Mohamad Ridhwan dilaporkan terjatuh dari bot gentian kaca.

Kejadian kemudian dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan aset seperti Kapal Maritim KM Tatau dan kapal CB90 bersama empat anggota penyelam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, Khairul berkata, operasi SAR turut disertainya semalam bermula jam 7 pagi hingga 2 petang namun tiada petunjuk positif.

Difahamkan, SAR diteruskan hari ini bermula jam 7 pagi tadi dan beberapa sektor pencarian diperluaskan membabitkan jarak 23 kilometer dari Pantai Kempadang dan serta dibantu anggota bomba dan penyelamat yang melakukan pencarian di sekitar pesisir pantai.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 10:47am
d