mutakhir

Fokus isu setempat

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Balakong: Calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong tidak mahu menyentuh isu spekulasi berkenaan pertandingan parti November ini, sebaliknya memberi fokus kepada isu tempatan dalam ceramah kempennya.

Menurutnya, soal bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek bertanding ke jawatan nombor satu parti mencabar Timbalan Presiden Datuk Seri Wee Ka Siong tidak menjadi keutamaannya ketika ini.

“Itu (pemilihan parti) tidak penting dan bukan keutamaan saya sebagai parti pembangkang yang berjuang demi rakyat.

“Dia (Chua Soi Lek) pun ada WhatsApp saya, dia pesan dia mahu kami bertanding bersungguh-sungguh. Kalau ada masa dia akan turun tak kira di mana,” katanya di sini semalam.

Ditanya apakah pandangannya terhadap Chua sebagai veteran parti yang bergandingan dengannya dalam kempen reformasi MCA menerusi Deklarasi Balakong, Tan berkata, perbezaan itu tidak timbul.

“Saya rasa dia akan turun bantu kempen bersama,” katanya ketika diminta mengulas sama ada Chua ada menghubunginya untuk membantu berkempen.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 11:32am
d