mutakhir

Kejar 196km

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Seorang pengedar dadah yang dikejar polis sejauh 196 kilometer (km) dari daerah ini hingga ke FELDA Jengka 19 di Maran, dapat meloloskan diri selepas kereta dipandunya terbabas ke kawasan semak.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang kelmarin, sebaik anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengesan lelaki itu memandu kereta Honda Accord di bandar ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sebelum itu anggotanya menerima maklumat mengenai suspek yang dipercayai membawa sejumlah dadah untuk diedar di sini.

“Suspek yang menyedari dia diekori anggota MPV bertindak memecut keretanya menghala ke arah Gambang sebelum terbabas apabila tiba di jalan utama di FELDA Jengka 19.

“Kereta itu terbabas ke dalam semak, tetapi suspek sempat melarikan diri meninggalkan kenderaannya.

“Pemeriksaan dalam kereta pula tidak menemui apa-apa bahan mencurigakan.

“Kami tidak menolak kemungkinan suspek sudah membawa bersama bekalan dadah itu berikutan pemeriksaan awal mendapati keadaan dalam kenderaan berselerak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kereta berkenaan sudah ditarik dan dibawa ke IPD Maran untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenarnya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Nor berkata, pihaknya menahan seorang penganggur berusia 25 tahun dari Bandar Tun Razak, Muadzam Shah bersama sejumlah dadah.

Menurutya, suspek ditahan di tepi jalan dekat sebuah sekolah di FELDA Keratong 2 di sini, jam 3.45 petang kelmarin selepas tersembam atas pasir ketika cuba melarikan diri.

“Dia ditahan dalam Ops Tapis di kawasan tanah rancangan itu dan pemeriksaan menemui plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2.73 gram dalam poket seluarnya.

“Satu lagi plastik ditemui di dalam beg yang disangkut pada motosikal mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 33.23 gram.

“Suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 11:55am
d