mutakhir

Selesai faraid 'hutang tiba'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Syarikat dibina dan harta dikumpul untuk tempoh 10 tahun hilang sekelip mata hingga tiada apa lagi yang tinggal gara-gara terlalu percaya kepada rakan kongsi hingga menyebabkan dia hampir diisytiharkan muflis.

Itu nasib menimpa seorang lelaki, Mohd Huzaimi Razhi, 36, dari Bukit Jalil, di sini, apabila dia bakal muflis selepas syarikat pembinaan milik bapanya mempunyai hutang kira-kira RM400,000 dengan sebuah institusi kewangan.

Mohd Huzaimi berkata, masalah terbabit timbul apabila syarikat ayahnya yang ditubuh pada 1996 berdepan masalah selepas rakan kongsi secara tiba-tiba membuat tuntutan undang-undang untuk menghentikan operasi berikutan ada masalah dalaman.

“Berikutan tuntutan undang-undang itu, syarikat ayah tidak boleh beroperasi seperti biasa, malah ayah turun naik mahkamah menyelesaikan masalah terbabit.

“Kes berkenaan mengambil masa beberapa tahun dan akhirnya berkubur menyebabkan ayah jatuh sakit lalu meninggal dunia pada 2016,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, baru-baru ini secara tiba-tiba pihak institusi kewangan menuntut pembayaran hutang daripadanya dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan dia boleh diisytiharkan muflis.

“Tuntutan berkenaan mula diserahkan oleh pihak institusi kewangan terbabit sebaik saja saya membuat pembahagian harta pusaka kepada dua adik-beradik lain.

“Pihak institusi kewangan terbabit memaklumkan saya adalah waris yang sah dan perlu menanggung hutang terbabit sedangkan dalam tempoh dua tahun sebelum ini, tiada sebarang surat atau panggilan daripada mereka supaya berbuat demikian,” katanya.

Mohd Huzaimi berkata, sebelum ini dia beberapa kali menelefon dan menghantar surat kepada institusi kewangan terbabit bagi memaklumkan mengenai kematian ayahnya selain meminta dokumen berkaitan pinjaman berkenaan.

“Namun, mereka tidak memberi sebarang maklum balas, malah apabila berjumpa dengan pegawainya pun, tiada penyelesaian menyebabkan saya hanya berdiam diri dan menganggap masalah terbabit sudah selesai.

“Selain itu, saya juga agak hairan pihak institusi kewangan terbabit tidak pula meminta pembayaran hutang daripada rakan kongsi yang juga penjamin pinjaman, malah melepaskannya tanpa sebarang pemberitahuan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma tidak berpuas hati apabila segala bebanan diletakkan kepada saya dan pada masa sama, individu yang sepatutnya bertanggungjawab dilepaskan,” katanya yang merujuk masalah itu kepada Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Presiden 4PM Rosland Mohd Arif berkata, pihaknya akan berbincang dengan institusi kewangan terbabit bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik seterusnya mengelakkan Mohd Huzaimi dikenakan tindakan.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 12:16pm
d