mutakhir

Dah tua pun gatal

Oleh Khalid Latip

LELAKI warga emas ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, di Saratok, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin ketika mengesahkan penahanan itu, memaklumkan tindakan berkenaan susulan laporan polis dibuat bapa mangsa.

"Berdasarkan laporan polis dibuat, kejadian berlaku kira-kira 8 malam, Selasa lalu ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari masjid. Suspek didakwa menarik tangan mangsa sebelum mendukung kanak-kanak itu dan membawanya pulang ke rumahnya.

"Sebaik saja tiba di rumah berkenaan, suspek cuba memperkosa mangsa, namun kanak-kanak itu bernasib baik apabila sempat melarikan diri melalui pintu belakang rumah berkenaan," katanya.

Bertindak atas laporan polis dibuat bapa mangsa, Mordani berkata, pihaknya melancarkan gerakan mengesan suspek sebelum berjaya menahan lelaki berusia 67 tahun itu di rumahnya.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut yang kemudiannya menjurus kepada penahanan lelaki berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek yang juga peniaga mengaku meraba dan mencabul mangsa," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 12:38pm
d