mutakhir

Tengah berkayak pun sempat mengaji

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TIDAK seperti biasa, satu daripada program World #QuranHour di Perak menampilkan sedikit kelainan apabila ayat suci al-Quran dibaca secara beramai-ramai termasuk wakil dari Brunei, di atas kayak di Sungai Perak.

Program itu dijayakan sebentar tadi oleh peserta program XPDC Kayak Kembara Merdeka Gabungan Malaysia Brunei (MALBRUN) sempena Kemerdekaan Ke-61 ‘Sayangi Malaysiaku’.

Kumpulan itu diketuai pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Hashim, bersama 20 pendayung termasuk enam pendayung kayak solo dari negara Brunei, lapan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh dan empat dari Politeknik Ungku Omar (PUO).

Melalui program dijayakan dengan kerjasama Unit Sekretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) IPG Kampus Ipoh itu, kesemua pendayung merapati kayak masing-masing ke gigi air di Pulau Tepus di temgah aliran sungai berkenaan sebelum membacakan al-Quran selama sejam bermula 10.15 pagi tadi.

Program itu turut dilakukan secara langsung melalui media sosial Facebook.

Penyelaras ekspedisi berkenaan, Ramli Ahmad Rozali berkata, kesemua pendayung itu memulakan dayungan dari perhentian Kampung Bekor, Kem Rekuda Manong, Kuala Kangsar pada 8.45 pagi dan singgah di pulau berkenaan.

"Mereka sebenarnya dalam perjalanan menuju ke destinasi ke Pulau MISA Melayu, mengambil kesempatan untuk singgah di pulau itu bagi membaca ayat suci al-Quran selama satu jam sempena World #QuranHour.

"Sebaik tiba, mereka terus merapatkan kayak masing-masing di gigi air pulau itu dan mula membaca al-Quran selama satu jam di atas kayak bermula 10.15 pagi hingga 11.15 pagi," katanya ketika dihubungi NSTP di Parit, hari ini.

Ramli berkata, bacaan secara langsung dibuat pada akaun FB milik seorang daripada pendayung ekspedisi iaitu Rodzuan Ramli.

Katanya, kesemua pendayung akan berlepas ke perhentian di Jambatan Nordin jam 2 petang bagi meneruskan XPDC MALBRUN sebelum tiba di perhentian seterusnya di Cempaka Sari yang akan disambut oleh Penyelaras Parlimen Parit, Datuk Tarmizi Mohd Jan.

"Peserta dijangka berlepas dari Cempaka Sari ke Pulau MISA Melayu pada 3 atau 4 petang ini bergantung kepada pergerakan masa pendayung dan dijangka tiba di pulau itu pada 6.30 petang.

"Peserta akan mengadakan pelbagai aktiviti kebudayaan bersama penduduk kampung di pulau itu dan menjayakan program ambang kemerdekaan malam ini pulau berkenaan," katanya.

XPDC MALBRUN bermula sejak semalam dengan pendayung berlepas dari USAS Resort di Kuala Kangsar pada 11.30 pagi ke Kampung Bekor.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 1:29pm
d