mutakhir

Atok tiri durjana dijel [METROTV]

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

PENOREH getah dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap kesalahan mencabul cucu tiri yang kurang upaya (OKU) berusia tujuh tahun, Sabtu lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 69 tahun mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa dengan sengaja menyentuh cucu tirinya yang juga lembam berusia tujuh tahun dengan tujuan membangkitkan nafsu di rumah di Ketereh pada 11.30 pagi, Sabtu lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya mahkamah meringankan hukuman atas alasan sudah terlalu tua.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad kemudiannya memohon supaya hukuman berat kerana kesalahan yang serius itu perlu mengambil kira kepentingan awam.

"Tertuduh sebagai atok sepatutnya menjaga cucunya, sebaliknya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang OKU lembam. Hukuman berat dan sebat perlu diberikan sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dengan perbuatannya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Bazli memutuskan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa yang pulang dari klinik mendapati anaknya itu tiada di ruang tamu rumah sebelum mencari kanak-kanak itu di bilik nenek mangsa dan mendapati ayah tiri bapa mangsa berada di atas badan anaknya di atas katil.

Ayah tiri yang terkejut kehadiran bapa mangsa terus bangun dan berdiri di tepi katil sambil ketawa dan senyum. Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kok Lanas.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 1:56pm
d