mutakhir

Dermasiswa RM10 juta

Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itu pepatah Melayu yang meminta kita supaya hidup tolong menolong dan membantu sesama insan yang memerlukan.

Berpegang teguh kepada konsep itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) buat julung kali menawarkan dermasiswa khusus untuk penuntut daripada keluarga berpendapatan terendah melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dikenali sebagai Dermasiswa My Brighter Future, ia diberikan kepada 1,000 penuntut yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada tahun ini.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan RM10 juta pada tahun ini untuk tujuan berkenaan bagi terus memperkasa pendidikan di Malaysia dan membangunkan modal insan cemerlang.

Setiap penerima akan menerima RM10,000 setiap tahun meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tempoh pengajian mereka tamat.

“Dermasiswa ini tambahan kepada biasiswa dan pinjaman boleh ubah yang kami tawarkan setiap tahun dengan nilai RM100 juta ketika ini.

“Sejak 1993, TNB melalui YTN membelanjakan lebih RM1 bilion untuk 11,000 penerima yang terdiri daripada pelajar cemerlang.

“Dermasiswa My Brighter Future diberikan kepada 1,000 penuntut yang mendaftar bagi kemasukan semester satu 2018/2019 di tujuh universiti awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya ketika berucap di majlis penyerahan sijil dermasiswa kepada 10 penuntut UiTM di Ibu Pejabat TNB, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Moggie yang juga Pengerusi YTN berkata, TNB bekerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaras dengan mengenal pasti calon yang layak daripada keluarga berpendapatan terendah.

KPM akan membuat padanan dengan pangkalan data eKasih yang dikendalikan oleh Unit Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Harapan saya sama seperti ibu bapa lain yang mahukan anak mereka berjaya dan gunakan peluang keemasan ini sebagai penguat semangat untuk memajukan diri.

“Dermasiswa itu juga diharap bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah menampung kos pengajian anak-anak mereka di universiti tetapi juga membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan sebagai tanda memerdekakan diri selepas berjaya kelak,” katanya.

Tahun hadapan TNB merancang untuk menaja 4,000 penuntut lagi dan memperluaskan Dermasiswa My Brighter Future’ kepada universiti awam lain.

Sementara itu penerima dermasiswa, Norrapidah Mohd Sharpi, 20, terharu dengan keprihatinan pihak TNB dan universiti membantunya meringankan beban kewangan keluarga.

Anak kelapan dari sembilan beradik dari Jeram, Kuala Selangor itu berkata, dia tidak akan sesekali mensia-siakan kepercayaan diberi dan menjadikan dermasiswa itu sebagai penggalak semangat untuk dirinya berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

“Saya terharu dan seakan-akan tidak percaya dengan peluang diberikan TNB untuk membolehkan saya belajar tanpa perlu risau memikirkan keadaan ekonomi keluarga mahupun membuat pinjaman pendidikan.

“Saya dapat tahu terpilih menerima dermasiswa ini menerusi sistem permohonan Unit Pengambilan Universiti (UPU) 2018 ketika membuat semakan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam berdasarkan kelayakan,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di UiTM ini.

Muhammad Afif Fakhri Muhammad Afandi, 19, berasal dari Temerloh, Pahang pula berkata, dengan pendapatan bapanya yang tidak menentu kerana bekerja sendiri mengusahakan gerai makanan kecil pada setiap petang, dia membuat keputusan untuk membuat permohonan pinjaman pendidikan sekiranya diterima masuk ke universiti.

“Sebelum ini saya juga pernah memohon biasiswa, tetapi tiada sebarang jawapan diterima yang membuatkan saya tawar hati dan hanya terfikir untuk melakukan pinjaman pendidikan sekiranya berjaya ke universiti.

“Kini semuanya bagai mimpi kerana saya menerima peluang yang tak diduga sama sekali. Perasaan saya dan keluarga bercampur baur dengan gembira, hiba serta terharu.

“Syukur alhamdulillah, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada TNB kerana memberi peluang kepada anak desa seperti saya dan rakan lain untuk belajar dalam keadaan lebih selesa,” katanya.

Sementara itu ibu seorang penerima dermasiswa My Brighter Future’, Hatipah Taib, 54, berkata dia dan suami sebak selepas mendapat tahu anak kelima mereka, Mohd Fazren Iqmal Baharudin, 19, layak menerima dermasiswa berkenaan.

Katanya, empat anaknya sebelum ini perlu membuat pinjaman pendidikan untuk membolehkan mereka belajar di universiti kerana keadaan kewangan keluarga yang tidak mengizinkan.

“Ayah Fazren hanya bekerja kampung dan saya pula suri rumah sepenuh masa. Pendapatan bulanan memang tidak menentu dan sebab itu anak-anak sebelum ini terpaksa belajar menggunakan wang pinjaman pendidikan.

“Alhamdulillah, kali ini Fazren menerima nasib berbeza dan saya amat bersyukur serta menasihatinya agar belajar bersungguh-sungguh supaya tidak mengecewakan semua pihak yang terbabit dengan usaha ini.

“Buktikan pada semua, walaupun dia datang dari keluarga sederhana, dia juga juga mampu bersaing dan berjaya seperti penuntut lain yang dari latar belakang keluarga berbeza,” katanya yang datang dari Sik, Kedah.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 2:23pm
d