mutakhir

Isu unit tahfiz Ustaz Kazim Elias selesai

Oleh Razif Rosli

UNIT Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah milik penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias diserahkan secara rasminya kepada pengurusan baharu, Pusat Pengajian Al -Ulya, hari ini.

Penyerahan rasmi itu sekali gus menyelesaikan kemelut yang melanda pusat tahfiz berkenaan sejak Julai lalu, berikutan masalah kewangan dihadapinya.

Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias berkata, semua guru, pelajar dan kakitangan di unit tahfiz berkenaan akan diuruskan pengurusan baharu, dan sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, pihaknya hanya akan menumpukan kepada penubuhan asal Al Barakah iaitu pengajian pondok yang kini mempunyai ratusan pelajar.

“Pengurusan Al Ulya boleh menggunakan apa sahaja kemudahan dan harta benda sedia ada dalam bangunan ini tanpa sebarang caj dikenakan namun pemilik bangunan tetap milik Al Barakah.

“Perjanjian yang kita tandatangani ini membabitkan pengambilalihan pelajar, bangunan, perbelanjaan mengurus dan lain-lain di bawah tanggungan Al Ulya.

“Bagi perjanjian pengurusan bangunan sahaja kita ikat kontrak selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Unit Tahfiz Al Barakah kepada Pusat Pengajian Al Ulya di Dewan Annuar Mat Taib Pusat Pendidikan Al Bakarah dekat Ipoh, hari ini.

Julai lalu, Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual unit tahfiz berkenaan yang terletak di Manjoi kerana tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Kazim berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam pengurusan baharu kerana yakin barisan kepemimpinan baharu itu mampu menggalas tugas dengan cemerlang.

“Mereka semua (jawatankuasa Al Ulya) adalah hafiz dan hafizah dan mempunyai idea serta pemikiran yang lebih muda dan bernas dari saya, saya yakin mereka dapat uruskan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Pusat Pengajian Al Ulya, Mohd Azhar Abd Latif berkata, pihaknya mahu menyambung legasi kecemerlangan yang ditinggalkan oleh Mohd Kazim.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 3:48pm
d