mutakhir

Komited bantu mak nyah

Oleh Helmy Abd Rahman

BEBERAPA mak nyah yang berjaya kembali kepada fitrah selepas mengikuti program 'pemulihan' sebelum ini, mendorong kerajaan Terengganu untuk terus komited membantu golongan berkenaan dari semasa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, dalam penganjuran program sebelum ini yang disertai 100 lelaki transgender, ada di antara mereka mula menunjukkan perubahan untuk kembali menjadi lelaki.

"Walaupun tidak berubah sepenuhnya, ada beberapa dari 100 orang mak nyah yang mengikuti sesi pertama program pemulihan sudah berubah.

"Kita faham bukan mudah untuk berubah kerana kebanyakan daripada mereka sudah menjadi mak nyah dalam tempoh lama, mungkin berpuluh tahun dan kita akan terus membuat pemantauan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutup Program Sekuntum Impian Sejambak Harapan di Marang, hari ini.

Program edisi kedua anjuran kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu disertai 18 mak nyah dari seluruh Terengganu.

Mohd Nor berkata, program berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam untuk golongan itu boleh disifatkan berjaya dan kerajaan negeri berharap lebih ramai akan menyertainya pada masa akan datang.

"Kita mengalu-alukan penyertaan golongan terbabit untuk mengikuti program ini dan sudah memaklumkan kepada peserta yang ada untuk beritahu rakan mereka supaya sama-sama mengikuti penganjuran program akan datang.

"Menerusi program ini juga, kita boleh memberi laluan kepada mereka untuk mencari hala tuju lebih baik dalam kehidupan dengan berniaga dan menjadi usahawan contohnya," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 5:40pm
d