mutakhir

Pertimbang dakwa Isa Samad

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihak pendakwa raya dalam pertimbangan untuk membuat pertuduhan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata ia membabitkan kes pembelian dua hotel, masing-masing di Kuching, Sarawak dan Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

“Dalam isu Tan Sri (Isa Samad), pihak pendakwa raya dalam pertimbangan untuk pertuduhan.

“SPRM juga akan memaklumkan secepat mungkin kepada media sekiranya sudah mendapat persetujuan daripada pendakwa raya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Pada 21 Jun tahun lalu, Isa dan isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London dan Kuching, Sarawak, masing-masing pada 14 Julai dan 27 Julai tahun lalu.

FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak RM78 juta berdasarkan kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam menerusi transaksi berkenaan.

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai membabitkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 6:55pm
d