mutakhir

Lelaki tumbuk pintu hospital minta maaf

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI lelaki yang menumbuk pintu bilik bersalin Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Sabtu lalu, hingga pecah tampil meminta maaf secara terbuka, hari ini.

Lelaki berusia 23 tahun itu tampil memohon maaf kepada semua kakitangan HSB terutama Pengarahnya, Dr Zaiton Udin di atas perbuatannya yang menyebabkan ramai pihak boleh terjejas.

Katanya, dia mengakui tidak tahan melihat keadaan isterinya yang sedang sakit untuk bersalin anak pertama mereka yang juga anak kedua bagi isterinya itu.

“Disebabkan perbuatan saya, orang lain menerima akibatnya dan saya ingin memohon maaf kepada semua termasuk pihak hospital. Saya menyesal dengan apa yang berlaku dan bersyukur pihak HSB memaafkan saya.

“Saya tidak tahu kes saya tular di laman sosial sehingga menimbulkan kemarahan kepada orang ramai terutama bagi pasangan yang baru pertama kali menyambut kelahiran anak.

“Saya hanya tahu kes ini diviralkan selepas dua hari kemudian apabila membaca berita dalam talian sehingga keluarga banyak memberi semangat supaya saya tampil memohon maaf,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat HSB, hari ini.

Lelaki itu berharap supaya larangan untuk tidak membenarkan peneman isteri ketika bersalin ditarik balik secepat mungkin bagi membolehkan keadaan kembali seperti asal.

Sementara itu, Dr Zaiton berkata, pihaknya lega apabila lelaki terbabit tampil memaklumkan kejadian itu tidak ada kaitan dengan perkhidmatan diberikan kakitangannya.

Beliau berkata, keluarga lelaki terbabit bersetuju untuk menanggung kos membaiki pintu yang rosak.

“Notis larangan untuk tidak membenarkan peneman ibu bersalin hanya sementara kerana kita dalam proses untuk memperkemaskan peraturan sedia ada untuk mengelak kejadian berulang dan akan ditarik balik dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ditanya mengenai laporan polis dibuat pihak HSB, Dr Zaiton berkata, pihaknya membuat laporan berkaitan kerosakan pintu bilik bersalin sahaja dan tidak membabitkan individu berkenaan.

Dalam kejadian 1.15 pagi itu, NSTP melaporkan seorang lelaki berusia 24 tahun mengamuk di wad bersalin HSB selepas doktor mendapati tiada indikasi isterinya berusia 23 tahun perlu dibedah bagi melahirkan anak kedua mereka.

Berikutan itu, HSB terpaksa mengeluarkan notis kebenaran peneman kepada ibu bersalin diberhentikan serta-merta di hospital berkenaan sejak Ahad lalu.

Notis mengenai larangan itu kemudian tular di laman sosial dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang mendakwa tindakan lelaki terbabit menyebabkan mereka tidak dapat membawa peneman.

Berita berkaitan

'Tiada peneman ibu bersalin di HSB'

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 7:22pm
d