mutakhir

Berjaya kumpul RM800,000

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru

Tabung Madrasah Impianku yang dilancarkan oleh Pasaraya Econsave Cash And Carry dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Persatuan Intitusi Tahfiz Al Quran Negeri Johor (PINTA) berjaya mengumpul dana sejumlah RM800,000 sejak dilancarkan empat bulan lalu.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, pada awalnya pihaknya menyasarkan sumbangan RM500,000, tetapi gembira dengan sambutan cukup baik daripada masyarakat hingga berjaya mengumpul lebih banyak daripada itu.

Katanya, pihaknya terharu dengan sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat terhadap usaha pihaknya mengutip
dana bagi mempertingkatkan ciri keselamatan, sekali gus mencegah risiko ancaman kebakaran
di madrasah.

“Masyarakat sedar kebanyakan pengurusan madrasah tidak mampu mempertingkatkan ciri keselamatan bangunan hingga memberi ruang kepada kejadian tidak diingini berlaku seperti kejadian kebakaran di madrasah tertentu hingga meragut nyawa pelajar.

“Sehingga kini, sebanyak 34 madrasah terpilih
di Johor menyerahkan senarai keperluan mereka dan kami dalam proses mendapatkan sebut harga daripada lebih 10 pembekal peralatan pencegahan kebakaran.

“Ia termasuk pengesan asap, pengesan kebocoran gas, pemadam api, lampu kecemasan, papan tanda keluar, siren kecemasan, kotak kunci keselamatan dan peti kecemasan.

“Agihan akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan sekiranya mempunyai lebihan akan disalurkan
ke madrasah di Melaka dan negeri lain,” katanya.

Mas Imran berkata, setiap madrasah akan menerima sumbangan peralatan bernilai hingga RM10,000 mengikut keperluan masing-masing demi mempertingkatkan ciri keselamatan, sekali gus mencegah risiko ancaman kebakaran.

Sementara itu, Pengerusi MyCARE Johor, Profesor Madya Dr Mohd Zin Kandar, berkata pihaknya yang mengurus dana yang dikumpul akan menjalankan tinjauan ke madrasah yang tersenarai dan jumlah dana yang bakal diagihkan bergantung kepada keperluan sesebuah madrasah.

Katanya, pihaknya menjangka program berkenaan akan dilaksanakan mulai hujung bulan ini di beberapa madrasah terpilih.

“Kami berharap kelengkapan bagi meningkatkan ciri keselamatan di madrasah akan digunakan dengan sebaik mungkin. Ini adalah kerjasama julung kali kami bersama PINTA dan diharap ia berterusan
pada program pada
masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 4:45am
d