mutakhir

Ayat suci atas kayak

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Parit: Tidak seperti biasa,
satu daripada
program World
#QuranHour di Perak
menampilkan kelainan
apabila ayat suci itu dibaca secara beramai-ramai
termasuk wakil dari Brunei di atas kayak di Sungai
Perak, semalam.

Program itu dijayakan peserta program XPDC Kayak Kembara Merdeka Gabungan Malaysia Brunei (MALBRUN) sempena Hari Kebangsaan bertemakan Sayangi Malaysiaku.

Kumpulan itu diketuai pendayung kayak solo negara, Murad Mohd Hashim, bersama 20 pendayung termasuk enam pendayung kayak solo dari Brunei, lapan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh dan empat dari Politeknik Ungku Omar (PUO).

Melalui program dijayakan dengan kerjasama Unit Sekretariat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) IPG Kampus Ipoh itu, semua pendayung merapatkan kayak masing-masing ke gigi air di Pulau Tepus di tengah aliran sungai berkenaan sebelum membacakan al-Quran selama sejam bermula jam 10.15 pagi.

Program itu turut disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook (FB) seorang pendayung ekspedisi iaitu Rodzuan Ramli.

Penyelaras ekspedisi berkenaan, Ramli Ahmad Rozali berkata, semua pendayung itu memulakan dayungan dari perhentian Kampung Bekor, Kem Rekuda Manong, Kuala Kangsar pada jam 8.45 pagi dan singgah di pulau berkenaan.

“Mereka yang sebenarnya dalam perjalanan ke Pulau MISA Melayu mengambil kesempatan untuk singgah di pulau itu bagi membaca ayat suci al-Quran selama satu jam sempena World #QuranHour.

“Sebaik tiba mereka terus merapatkan kayak masing-masing di gigi air pulau itu dan mula membaca al-Quran bermula jam 10.15 pagi hingga 11.15 pagi,” katanya di sini, semalam.

Ramli berkata, kesemua pendayung berlepas ke perhentian di Jambatan Nordin pada jam 2 petang bagi meneruskan XPDC MALBRUN dan tiba di perhentian Cempaka Sari dengan disambut oleh Penyelaras Parlimen Parit, Datuk Tarmizi Mohd Jan.

“Peserta kemudian ke Pulau MISA Melayu sebelum mengadakan pelbagai aktiviti kebudayaan bersama penduduk kampung di pulau itu, selain menjayakan program ambang merdeka,” katanya.

XPDC MALBRUN bermula kelmarin, dengan pendayung berlepas dari USAS Resort di Kuala Kangsar pada jam 11.30 pagi ke Kampung Bekor.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 4:50am
d