mutakhir

Sangat 'touching' - Syed Saddiq

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, beliau adalah antara ribuan peserta acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan namun, kini beliau menyaksikan sambutan itu sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Itu pengalaman dikongsi Syed Saddiq Abdul Rahman ketika hadir pada program sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3, hari ini.

Berkongsi pengalaman itu, Syed Saddiq berkata, beliau mewakili Maktab Tentera Diraja (RMC) dalam acara perarakan dan perbarisan pada 2008 ketika berada di Tingkatan Empat.

"Saya pernah hadir beberapa kali menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan namun, paling tidak dilupakan adalah ketika menyertai acara perarakan dan perbarisan mewakili RMC.

"Ia satu pengalaman berguna dan detik yang nostalgia kepada saya.

"Malah, tadi masa sesi bacaan ikrar oleh pelajar RMC, ia sangat 'touching' (menyentuh hati)," katanya ketika ditemui sejurus tamat program sambutan Hari Kebangsaan 2018 di sini, pagi ini.

Katanya, beliau bangga dan gembira dengan kehadiran orang awam terutama anak muda yang mula membanjiri tapak sambutan seawal 5.30 pagi.

Syed Saddiq berkata, penyertaan itu menggambarkan simbol yang agak baik daripada anak muda untuk membangunkan semula negara sekali gus menjadi titik permulaan untuk terus mara ke hadapan.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 2:13pm
d