mutakhir

'Hargai peranan Raja-Raja Melayu'

Oleh Farah Suhaidah Othman

MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menyeru rakyat menghargai peranan Raja-raja Melayu dalam menuntut kemerdekaan sekali gus berkenan memberi peluang kepada rakyat untuk mentadbir Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau berkata, dalam mengimbau kembali lipatan sejarah, rakyat diseru berterima kasih terhadap jasa Raja-Raja Melayu yang turut berjuang menuntut kemerdekaan tanah air daripada penjajah pada ketika itu.

Katanya, rakyat juga perlu menjunjung kasih terhadap institusi beraja itu di atas perkenan memberi peluang kepada rakyat untuk mentadbir Persekutuan Tanah Melayu, demi kepentingan rakyat yang berbilang kaum.

"Syukur Alhamdulillah, di atas limpah rahmat Allah yang mengurniakan kebijaksanaan kepada ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu inilah, negara kita dibina di atas semangat sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri majlis berkenaan.

Baginda berdua turut ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Ahmad Faizal berkata, sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen memberikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan bagi mentadbir kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Kerajaan yang dipilih bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan kebajikan rakyat berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

"Melangkah ke depan, saya ingin menyeru semua rakyat negeri ini marilah bersama-sama memerdekakan diri kita daripada belenggu syak wasangka dan prejudis," katanya.

Beliau berkata, selepas enam dekad mencapai kemerdekaan, sekarang adalah masa terbaik untuk membuka lembaran baharu untuk memperkasa kepercayaan dan keyakinan bahawa kepelbagaian kaum dan agama rakyat adalah sumber kekuatan dan bukan perkara yang melemahkan.

"Saya mengajak semua rakyat untuk bersatu mengembalikan kegemilangan negeri Perak dan menjadikan Malaysia negara yang lebih cemerlang demi generasi akan datang," katanya.

Pada majlis berkenaan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dinobatkan sebagai johan dalam kategori pakaian terbaik keseluruhan manakala bagi kawad terbaik kategori institut pendidikan awam dan swasta dimenangi Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah, Kampung Gajah.

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet pula meraih tempat pertama untuk kategori kawad bagi persembahan pancaragam terbaik.

Sultan Nazrin berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada semua pemenang sebelum baginda dan Tuanku Zara berangkat pulang pada 11.30 pagi.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 2:25pm
d