mutakhir

Lemas ketika nak ambil bola hanyut

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TINDAKAN seorang kanak-kanak cuba mengambil bola yang hanyut dalam kolam tadahan air dekat belakang sebuah flet di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam di Johor Bahru, membawa padah apabila dia ditemui lemas, malam tadi.

Mangsa, Eezender Neo Gaong, 10, yang berketurunan Iban ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pada jam 11.25 malam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, mangsa bersama lapan lagi rakannya berusia antara lapan hingga 10 tahun bermain bola dan berenang di dalam kolam berkenaan.

“Mangsa dan rakannya ke kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang. Mangsa dipercayai cuba mengambil bola yang hanyut ke tengah kolam, sebelum hilang,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, lokasi kejadian adalah sebuah kolam tadahan air sedalam antara 2.7 meter (m) hingga tiga m dan tidak berpagar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan anak bermain dan mandi di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 3:22pm
d