mutakhir

Kakitangan Kedutaan China cedera dalam nahas

Oleh Nik Sukry Ramli

KAKITANGAN pejabat Kedutaan China di Malaysia cedera apabila kereta BMW dinaiki mereka terbabas di Kilometer 240.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan berhampiran Kuantan, hari ini.

Difahamkan, seorang daripada mangsa adalah Setiausaha Kedua kedutaan itu, Tang Tang manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2 petang dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira 14 minit selepas menerima maklumat kejadian dan mendapati kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Kedutaan China itu berada di bahagian kiri lebuh raya berkenaan dalam keadaan remuk.

“Berdasarkan laporan awal, kereta BMW dipandu seorang daripada mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar bahagian kiri jalan,” katanya.

Katanya, kecederaan dialami mangsa tidak serius dan mereka dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 6:29pm
d