mutakhir

Tan dilantik Duta Khas ke China sejak 1 Ogos

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

CAKAP-CAKAP Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dilantik sebagai Duta Khas ke China terjawab selepas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan perkara itu hari ini.

Saifuddin berkata, keputusan melantik Ahli Parlimen Cheras itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Beliau memang diputuskan oleh Kabinet sebagai Duta Khas ke China,” katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.

Isu pelantikan Tan sebagai Duta Khas ke China timbul dan dibantah pembangkang memandangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengkritik pelantikan seumpama itu.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong sebelum ini berkata pelantikan itu belum dimuktamadkan walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelantikan itu.

Sementara itu, Tan berkata, beliau dilantik ke jawatan itu merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) sejak 1 Ogos lalu.

“Yang Berhormat Menteri (Luar) mengakui bahawa Jemaah Menteri mengesahkan saya dilantik sebagai Duta Khas ke China merangkap Pengerusi MCBC. Terima kasih,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Saifuddin berkata, pemimpin tertinggi DAP itu tidak dilantik sebagai Duta Khas ke China sebaliknya hanya sebagai Pengerusi MCBC.

Dalam laporan itu, Saifuddin menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima surat pelantikan terbabit.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 8:10pm
d