mutakhir

'Rakyat ada lebihan duit selepas SST'

Oleh Shamsul Munir Safini

PENDAPATAN negara hanya RM2 billion dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun rakyat mempunyai lebihan duit untuk berbelanja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, SST menyumbang kepada pendapatan negara walaupun ia dijangka menyumbang hanya RM2 bilion berbanding sistem cukai sebelum ini berjumlah RM4 bilion.

Beliau berkata, keberkesanan sesuatu sistem cukai adalah berdasarkan jumlah kutipan yang akan diterima kerajaan dan melalui SST, jumlah pendapatan negara dijangka meningkat hanya RM2 bilion berbanding RM4 bilion ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

"Walaupun berlaku penurunan pendapatan negara, namun ia memberi gambaran walaupun pendapatan negara kurang 50 peratus, rakyat mempunyai lebihan wang bagi dibelanjakan.

"Pihak kementerian juga akan mengadakan jelajah di setiap negeri bermula Isnin ini bagi memberi penerangan kepada pengguna mengenai tindakan penguatkuasaan dan tugas dimainkan KPDNHEP," katanya ketika melepaskan Konvoi Kesedaran Pengguna di Pangsapuri Ampang Jajar di Butterworth, hari ini.

Beliau berkata, usaha konvoi kesedaran sebegini adalah satu usaha kreatif daripada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan maklumat kepada pengguna mengenai sistem cukai baru ini.

Katanya, usaha ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk persatuan penduduk, NGO dan pihaknya.

Menurutnya, melalui konvoi ini, orang ramai akan dimaklumkan dengan lebih jelas mengenai apa yang terkandung di dalam SST dan barangan yang dikenakan cukai.

"Tidak semua barangan dikenakan cukai, malah peratusan cukai bagi setiap barangan yang tersenarai juga berbeza.

"Pengguna juga boleh mengetahui bahawa kadar SST adalah kosong peratus, lima peratus dan 10 peratus dan berbeza mengikut barangan," katanya.

Saifuddin berkata, kebanyakan barangan makanan dikenakan cukai dengan kadar lima peratus berbanding barang lain yang dikenakan kadar 10 peratus.

Selain itu, rakyat dan orang ramai juga akan memperoleh maklumat bahawa SST dikenakan di peringkat pengeluar atau sumber dan tidak dikenakan kepada pemborong, pengedar dan peruncit.

Beliau berkata, di peringkat persekutuan juga, kerajaan sudah menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang akan bermesyuarat hujung bulan ini.

Beliau berkata, jawatankuasa ini akan disertai kementerian lain dan akan mengumpul semua maklum balas daripada rakyat tentang semua perkara yang berkaitan dengan peningkatan kos sara hidup rakyat.

"Maklumat yang diperolehi akan dikaji dan dibentangkan sebelum satu rangka strategi diambil bagi melegakan beban rakyat," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 12:13pm
d