mutakhir

Pakai seluar dalam je...

Oleh Mohd Rizal Abdullah

WANITA diterkam dan dipeluk lelaki yang hanya berseluar dalam di rumah sewanya di Taman Hiltop, Miri, semalam.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa, 40-an, sedang mengemas bilik sebelum suspek tiba-tiba menerkam mangsa dari belakang.

Menurut sumber, mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek bergegas keluar dari bilik untuk melarikan diri.

Sumber itu berkata, mangsa menyewa bilik di tingkat dua rumah berkenaan, manakala bilik lain di tingkat bawah disewa oleh penyewa yang tidak dikenalinya.

"Suspek terbabit dipercayai menceroboh bilik mangsa melalui tingkap biliknya berikutan terdapat kesan gunting pada jaring tingkap," katanya.

Katanya, mangsa mengesyaki kejadian dilakukan seorang daripada penyewa lelaki yang tinggal di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan berkata operasi mengesan suspek giat dijalankan.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 3:08pm
d