mutakhir

'Jangan sita motosikal tok wan, encik...'

Oleh Omar Osman

cnews.nstp.com.my

“JANGAN sita motosikal tok wan saya encik, apa saya nak jawab nanti,” rayu remaja lelaki selepas ditahan anggota trafik dalam Ops Samseng Jalanan di Pantai Merdeka, Sungai Petani, semalam.

Remaja berusia 16 tahun itu antara 25 pemilik motosikal yang disita polis kerana didapati melakukan kesalahan ubah suai tidak dibenarkan selain tiada lesen memandu dan cukai jalan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam operasi bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam, pihaknya memeriksa 489 motosikal dan sebuah kereta

“Sebanyak 532 saman dikeluarkan kepada pemilik motosikal kerana melaku pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran, ubah suai motosikal dan ekzos serta lain-lain kesalahan.

“Polis juga mendapati ramai penunggang motosikal yang ditahan masih bawah umur dan tidak memiliki lesen memandu.

“Justeru, saya menasihatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak mereka yang tiada lesen memandu daripada menunggang motosikal bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 3:22pm
d