mutakhir

Terbatal jika jual kontrak, AP - PM [METROTV]

Oleh Syed Umar Ariff; Mohd Iskandar Ibrahim dan Luqman Arif Abdul Karim

KONTRAK dan Permit Import (AP) yang dikesan dijual kepada pihak ketiga demi meraih keuntungan atas angin akan terbatal berkuat kuasa serta-merta, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pihak yang berhasrat untuk menjadi peniaga ‘ali baba’ dengan memanipulasi AP dan kontrak tidak sepatutnya memfailkan permohonan.

“Apabila kita dapat peluang, guna ia sebaik mungkin, bukan jual walaupun boleh dapat wang cepat kerana percaturan seperti ini hanya membuatkan orang lain yang kaya.

“Tabiat seperti ini harus dihapuskan. Kalau hanya untuk jual kontrak dan AP, maka ia terbatal dan tidak boleh dilaksanakan.

“Kita ada banyak lagi cara untuk ketatkan amalan yang berupaya merosakkan proses tadbir urus,” katanya pada ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dilaksanakan bagi tempoh 1971 hingga 1990 bertujuan melonjak sosio ekonomi Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif.

Katanya, ia termasuk peruntukan kuota kontrak dan AP kepada golongan berkenaan, namun usaha itu terencat susulan keputusan mereka untuk menjual atau memindahkannya sebagai pendekatan jalan pintas.

“Ada penerima AP dan kontrak berjaya menjana pulangan lumayan dalam jangka panjang, sekali gus muncul sebagai antara jutawan di negara ini berbanding golongan Bumiputera yang cenderung mengambil percaturan cetek.

“Mungkin salah kerajaan (ketika itu) kerana beri AP kepada kroni dengan tanggapan mereka tidak berusaha seperti yang sering dilemparkan terhadap DEB .

“Orang lain dapat juga AP, tetapi tidak gagal kerana berniaga, berbanding mereka yang jual setiap satunya dengan nilai RM8,000 satu permit. Memang mereka jadi kaya, tapi tak lamalah,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 3:32pm
d