mutakhir

Ajal di kebun kelapa sawit

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KEHILANGAN pengait kelapa sawit selama dua jam terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlentang di kebun miliknya di Batu 39, Sabak Bernam, semalam.

Mayat Rapai Mohd Ali, 57, ditemui penduduk kampung yang kebetulan mencarinya sekitar kawasan itu jam 7.15 malam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, lelaki itu dipercayai keluar dari rumahnya di kawasan berdekatan untuk mengait kelapa sawit, kira-kira jam 5 petang.

“Kebiasaannya, lelaki berkenaan yang bersendirian akan pulang ke rumah pada jam 7 malam.

“Namun, mangsa masih tidak muncul menyebabkan anak lelakinya bimbang lalu melaporkan kejadian itu kepada penduduk kampung.

“Mereka kemudian menjalankan usaha mencari di kawasan kebun milik mangsa sebelum menemuinya dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 5:38pm
d