mutakhir

20 kenderaan rosak ditimpa pokok

Oleh Hasbi Sidek

KIRA-KIRA 20 kenderaan mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok di beberapa lokasi sekitar Jalan Klang Lama, Bukit Jalil dan Sri Petaling, Kuala Lumpur berikutan hujan lebat berserta ribut, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang, sebanyak tujuh kenderaan rosak dihempap pokok di tempat letak kereta sebuah apartmen di Taman Gembira, Jalan Klang Lama.

“Selain itu, kejadian pokok tumbang berlaku berhampiran sebuah gereja di Jalan Peria, Taman Goodwood, Kuchai Lama di mana sebanyak 10 kenderaan dihempap selain turut menghalang jalan.

“Pihak kami juga menerima laporan sebanyak tiga kenderaan dihempap pokok di depan sebuah restoran di Taman Desa Petaling. Kejadian turut menyebabkan dua laluan terhalang,” katanya.

Katanya, kejadian pokok tumbang turut berlaku di hadapan sebuah bengkel motosikal di Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Cheras, namun tidak menyebabkan kerosakan terhadap harta benda awam.

“Lokasi lain turut berlaku kejadian pokok tumbang, namun tidak membabitkan kerosakan ialah di Kampung Baru Salak Selatan, Taman Tan Yew Lai, Jalan Sungai Besi, Salak Selatan Baru, Salak Selatan, Taman Desa Petaling, Taman Sri Sentosa dan Pantai Dalam.

“Pihak APM sedang menjalankan kerja mengalihkan pokok terbabit dengan bantuan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian ini. Pihak kami turut menerima laporan kejadian papan tanda Plaza Tol Pantai Dalam di Lebuhraya Pantai Baru terjatuh.

“Kami difahamkan kejadian tidak membabitkan mangsa, namun menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di lokasi itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pokok tumbang menghempap rumah di Jalan 30 dan Jalan 31, Salak Selatan Baru.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 7:34pm
d