mutakhir

'Pasti ada kesan ayahnya dipukul setengah mati'

Oleh Syed Umar Ariff

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anaknya, Nurul Izzah bebas memberi pandangan berhubung pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor sebagai fasilitator keamanan di selatan Thailand.

Katanya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sudah tentu terkesan dengan kejadian yang menimpanya 20 tahun lalu kerana masih muda ketika itu.

“Nurul Izzah bebas memberi pandangan dia, dia masa itu muda dan kesan ayahnya dipukul setengah mati, pasti ada kesan, (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali pun tahu masa itu, semua marah.

“Jika tanya saya tentu ia tidak mudah, ini bukan soal peribadi, kalau anak Anwar dipukul setengah mati, kemudian awak jawab ini soal peribadi, tidak semudah itu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan di Kuala Lumpur , hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bantahan Nurul Izzah terhadap pelantikan Rahim kerana menyifatkan bekas Ketua Polis Negara itu terbabit dalam peristiwa ‘mata lebah’ bapanya ketika dalam tahunan polis selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Anwar berkata, apa yang penting peristiwa itu menjadi pengajaran kepada rakyat bahawa orang yang ada kuasa tidak boleh berlaku zalim dan menyalahgunakan kuasa.

“Sekarang ini kita sudah memberi mandat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita kena bagi beliau ruang untuk memutuskan apa yang difikirkan sebaiknya,” katanya.

Mengulas mengenai penulisan aktivis bebas, Hishamuddin Rais yang kononnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak Dr Mahathir tidak melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sebaliknya melantik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ke jawatan itu, Anwar berkata, itu sekadar pandangan peribadi aktivis bebas terbabit.

“Itu pandangan peribadi dia kerana dia ahli cereka. Kadang-kadang dalam politik, dalam menulis, ada pembantah, penyerang keras dan penjilat keras.

“Jangan jadi penyerang ganas, yang tidak berasas kepada fakta, dan jangan juga jadi penjilat. Bagi saya, kita bagi ruang pandangan masing-masing mentafsirkan , jangan kita marah sangat,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 9:29pm
d