mutakhir

Lelaki Vietnam kantoi guna cop palsu

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI warga Vietnam yang menggunakan cop palsu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara 74 pendatang tanpa izin (PATI) yang dicekup dalam tiga serbuan berasingan menerusi Ops Mega 3.0 di bandar raya ini semalam.

Serbuan selama lapan jam yang berakhir 7 malam tadi itu membabitkan 36 pegawai dan anggota JIM Perak.

Lokasi serbuan dijalankan di tapak pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Fair Park, tapak pembinaan di Panorama dan medan selera di Bercham.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail, berkata hasil pemeriksaan dalam serbuan di medan selera di Bercham, pihaknya mendapati seorang warga Vietnam berusia 42 dipercayai menggunakan cop palsu.

“Kita syaki dia menggunakan cop palsu JIM di Johor Bharu bagi membuktikan dia keluar daripada negara ini selepas pas lawatan tamat tempoh.

“Tetapi semakan mendapti dia tidak keluar daripada negara ini, jadi kita akan menyiasat lebih lanjut sindiket mana yang terbabit.

“Kita syaki dia menyalah guna pas lawatan dan disiasat Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan cop palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini lewat malam tadi.

Kamalludin berkata, dalam ketiga-tiga serbuan itu, pihaknya memeriksa seramai 119 warga asing sebelum menahan 74 daripada mereka termasuk tujuh wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Katanya, daripada jumlah PATI yang ditahan, 23 adalah warga Myanmar, 21 warga Indonesia dan 21 lagi warga Bangldesh serta sembilan warga Vietnam.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas lawatan.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, pihaknya sudah menjalankan sebanyak 340 operasi dengan jumlah tangkapan sebanyak 1,249 PATI serta 33 majikan.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 2:03am
d