mutakhir

Kumpul figura popular

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Demi kepuasan, ada individu walaupun berusia sanggup mengumpul pelbagai figura yang terdapat di pasaran terutama jika mempunyai keunikan dan daya tarikan tersendiri.

Lebih-lebih lagi jika permainan itu sesuai untuk kanak-kanak seperti Funko Pop yang mula popular di Malaysia dan mempunyai peminatnya tersendiri.

Funko Pop patung mini dibuat mengikut watak filem dan drama semakin mendapat tempat dalam kalangan orang dewasa kerana beranggapan ia unik, cantik dan comel.

Antara pengumpul Funko Pop di negara ini, Rayner Chew, 26, dari Kota Kinabalu, Sabah yang mengumpul lebih 70 figura berkenaan sejak dua tahun lalu.

Chew berkata, dia menghabiskan RM5,000 untuk mengumpul Funko Pop terutama membabitkan edisi terhad atau sukar diperoleh atau dibeli di negara ini.

“Kebanyakan Funko Pop terdiri daripada karakter pelakon drama luar negara dan juga filem seperti Thor serta Spiderman perlu dibeli di luar negara kerana tidak banyak kedai menjualnya.

“Funko Pop berharga RM55 namun jika edisi terhad atau keluaran khas boleh mencecah RM300,” katanya yang juga pengasas Kumpulan Pengumpul Funko Malaysia.

Minat sama turut dikongsi Farah Adila Radin Mohd Fuad, 32, berasal dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, apabila mula tertarik dengan Funko Pop selepas melihat video berkaitan permainan itu di laman sosial.

“Ada juga yang mempersoalkan minat saya mengumpul lebih 60 Funko Pop kerana beranggapan ia membazir dan tidak sesuai dengan umur yang meningkat dewasa.

“Namun, sebenarnya Funko Pop ini boleh dijual semula dengan harga lebih mahal lebih-lebih lagi edisi tertentu yang keluarannya dihentikan,” katanya.

Farah Adila membelanjakan lebih RM3,000 membeli Funko Pop akan menempah figura berkenaan menerusi laman jual beli atau meminta saudaranya yang melanjutkan pelajaran di luar negara untuk mencarinya.

“Saya meminati Funko Pop watak drama bersiri Breaking Bad dan Stranger Things apabila sanggup mengeluarkan belanja untuk memilikinya sebelum kehabisan stok.

“Funko Pop ini tidak mahal seperti figura lain dan ia mudah untuk menyimpan serta mempamerkan kerana tersedia dengan kotaknya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 4:10am
d