mutakhir

Tutup 33 Klinik 1Malaysia

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran dan Hidir Reduan

SEBANYAK 33 daripada 346 Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan ditutup secara berperingkat selepas laporan akhir berhubung tiga isu utama Kementerian Kesihatan dibentangkan ke Kabinet.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiga laporan yang bakal dimuktamadkan membabitkan Klinik 1Malaysia, caj rundingan pengamal perubatan dan doktor di klinik dan hospital swasta serta kes gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah.

"Selebihnya bakal diubahsuai menjadi klinik komuniti dan penstrukturan semula akan memantapkan lagi pentadbiran klinik sehingga ke akar umbi.

"Selain itu, beberapa kelainan baharu bakal dilaksanakan antaranya menugaskan pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat di setiap klinik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2018, hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mengumpulkan pandangan dan cadangan berhubung penetapan kadar harga konsultasi yang dikongsikan ketika sesi ‘town hall’ minggu lalu.

"Pandangan dan cadangan ini ada pro dan kontra namun semuanya akan saya rumus dan bentang kepada kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta di seluruh negara yang dijangka dinaikkan antara RM30 hingga RM125.

Mengulas lanjut, beliau sedang menunggu laporan lengkap daripada Badan Penyiasatan Bebas yang menyiasat kes gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital.

"Saya sedang menunggu laporan akhir yang akan dibentangkan selewat-lewatnya pada minggu depan.

"Kita akan pertimbangkan cadangan bagi memastikan isu ini dapat dikawal dan tidak akan berulang lagi," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 10:54am
d