mutakhir

Perlu tindakan tegas premis tiada sijil FC

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

INSTITUT Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis di seluruh negara yang menjalankan operasi tanpa sijil perakuan bomba (FC) ditetapkan mengikut Perintah Perkhidmatan Bomba 1998.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan tegas perlu diambil berikutan ada premis tanpa FC berkenaan dijadikan pusat beli-belah, hotel atau rumah selain digunakan sebagai kawasan pejabat sekaligus tidak selamat diduduki atau dikunjungi orang ramai.

Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan audit keselamatan secara berkala bagi setiap bangunan baru dan audit tahunan bagi setiap bangunan berusia lebih 20 tahun di negara ini.

"Baru-baru ini, media melaporkan bahawa sebanyak 2,845 premis melebihi 10 tingkat di negara ini tidak memiliki sijil FC dan mengejutkan ada antaranya dijadikan hotel, pusat beli-belah dan pejabat.

"Kebanyakan bangunan yang tidak mempunyai FC itu kerana tidak memenuhi spesifikasi teknikal keselamatan seperti tidak mempunyai laluan untuk menyelamatkan diri selain tidak dilengkapi kemudahan serta alat pencegahan, perlindungan dan penentang kebakaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, audit keselamatan dijalankan perlu membabitkan pemeriksaan menyeluruh pendawaian elektrik di bangunan serta kemudahan yang ada bagi mengenal pasti tahap keselamatan termasuk bahaya kebakaran berpunca daripada faktor pendawaian.

"Pemeriksaan itu termasuklah mengenal pasti bahaya kebakaran berpunca daripada pendawaian lama serta bahan binaan mudah terbakar.

"Selain itu, audit itu perlu mengenal pasti kelemahan aspek keselamatan bangunan dan kemudahan yang ada agar tindakan segera dapat diambil oleh pemilik untuk memperbaikinya," katanya.

Beliau berkata, di antara kesemua punca kebakaran di negara ini, masalah berkaitan elektrik adalah yang paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 5,300 kes sejak tahun 2014 hingga tahun 2016.

Katanya, menerusi statistik dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 877 kes kebakaran akibat maalah elektrik dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017.

"Sedar mengenai isu yang membimbangkan ini, NIOSH bersedia membantu meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan di premis kerajaan mahu pun swasta.

"Malah, bagi pemilik premis yang ingin melaksanakan audit keselamatan pula, NIOSH, menerusi anak syarikat NIOSH Certification Sdn Bhd mempunyai kepakaran untuk melaksanakan audit mengikut standard tempatan serta antarabangsa," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 11:23am
d