mutakhir

'Baru cat kereta dah kena curi'

Oleh Faris Fuad

“Baru dua, tiga hari hantar bengkel untuk cat kereta isteri sebelum ia dilarikan,” kata mangsa, Nor Zulkiflee Salzi selepas Perodua Kelisa itu dicuri di pekarangan kediamannya di Taman Sri Gombak, Gombak.

Nor Zulkiflee, 36, berkata, dia dan isterinya, Hafizah Hamid, 32, menyedari kereta itu hilang pada jam 10 pagi hari ini ketika mahu menggunakan kenderaan itu untuk membeli barangan keperluan di pasar berdekatan.

Susulan itu, katanya, kehilangan kereta itu yang masih 'bersinar' dengan cat hitam dan merah baharu masing-masing di bahagian bumbung dan badan Kelisa itu sudah dilaporkan di Balai Polis Sri Gombak, Gombak, hari ini.

"Kita harap polis dapat selesaikan kes itu dalam masa terdekat.

"Saya tiada petunjuk mengenai individu yang mungkin ada niat atau dendam nak curi kereta itu.

"Kereta itu baru dicat, ada kemungkinan juga mereka yang mencuri beranggapan Kelisa itu baharu dan boleh menjual di pasaran dengan harga yang tinggi.

"Kelisa itu sudah habis dibayar dan ketika ini harga pasaran kira-kira RM12,000. Lebih penting, ia mempunyai nilai sentimenal kepada keluarga kerana ia sudah berbakti kepada kami setelah sekian lama," katanya pada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Zulkiflee tidak menolak kemungkinan kereta itu dicuri kira-kira 12 tengah malam tadi ketika hujan lebat dan guruh.

"Ada jiran kata nampak kereta itu pada 11 malam selepas mereka pulang dari makan malam.

"Selepas itu, hujan lebat dan saya rasa pencuri ambil kesempatan untuk melarikan kereta itu.

"Ketika itu, saya dan keluarga tidak dengar sebarang aktiviti mencurigakan di luar rumah," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 12:58pm
d