mutakhir

Siang ke sekolah, malam uli tepung

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

LIMA tahun lalu, Amarul Hafiz Mohd Shah, 16, berpeluang menikmati zaman kanak-kanaknya dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan seusianya.

Namun segalanya berubah selepas ibunya, Rohaya Ahmad, 48, disahkan menghidap apendiks sehingga menyukarkan untuk dia bergerak pada 2015 dan lebih menyedihkan wanita itu turut berstatus ibu tunggal apabila berpisah dengan suami.

Amarul Hafiz yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, selepas penceraian ibunya mengambil upah menjahit baju untuk menyara kehidupan tetapi tidak lagi berbuat demikian apabila kesihatannya merosot.

"Apabila ibu menghidap apendiks, dia sukar bergerak dan tidak dapat menjahit. Bermula saat itu saya mempelajari cara membuat kek dan kuih bahulu untuk menjualnya bagi menampung perbelanjaan harian keluarga selepas tamat waktu sekolah.

"Kakak sudah berkahwin dan tinggal bersama suaminya manakala abang, Amierul Hakim Mohd Shah, 22, ketika itu masih belajar di dalam bidang jurutera mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Johor," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Fasa 2, Taman Sri Mawar, Senawang.

Menurutnya, walaupun masih belajar di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Heights, dia menggalas tanggungjawab seperti ketua keluarga dengan menjual kek dan bahulu yang hasilnya digunakan untuk membeli barangan dapur.

"Pada Julai tahun lalu, keluarga saya sekali lagi diuji apabila ibu diserang penyakit saraf menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong dan turut diserang angin ahmar.

"Keadaan itu membuatkan ibu perlu sentiasa dipantau kerana sukar untuk bergerak. Mujur abang kini sudah bekerja di kilang di Senawang namun duit gajinya disimpan untuk dia sambung belajar ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Amarul Hafiz berkata, pada Jun lalu ketuhar yang digunakannya rosak menyebabkan dia tidak dapat membuat kek dan bahulu.

"Kini saya mengambil upah menguli tepung roti canai setiap malam di rumah bapa saudaranya di Kampung Sentosa, Paroi.

"Walaupun ibu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM250 sebulan dan bantuan Baitulmal untuk barangan dapur bernilai RM80, ia tidak cukup untuk menampung perbelajaan termasuk kos perubatan ibu," katanya.

Orang ramai ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 155127147566 atas nama Amarul Hafiz Mohd Shah.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 2:16pm
d